Friday, 21 October 2016

APA ITU PAYA BAKAU DAN KEGUNAANYA ?

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai jenis hutan. Hutan paya bakau merupakan antara salah satu hutan yang popular di Malaysia. Hutan bakau adalah sebutan umum yang digunakan untuk menggambarkan suatu jenis komuniti pantai tropika yang diketahui oleh spesies pohon yang khas iaitu mempunyai keupayaan untuk tumbuh dalam perairan air masin. Terdapat dua jenis erti komuniti iaitu komuniti tumbuhan yang tahan terhadap garam dan maksud ke dua ialah sebagai individu spesies. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, hutan bakau ialah hutan yang terdapat di persisiran pantai yang selalu atau secara teratur tergenang air laut dan terpengaruh oleh pasang surut air laut. Kebanyakkan paya bakau terdapat di kawasan tropika dan sub - tropika yang hanya boleh hidup di muara sungai, persisiran pantai dan lain-lain lagi. Hutan bakau terdiri daripada lapan keluarga pohon dan semak sebanyak dua belas jenis jenis tumbuhan berbunga iaitu Avicennie, Sonneratia, Rhyzophora, Bruguiera, Ceriops, Xylocarpus, Lummitzera, Laguncularia, Aegiceras, Aegiatilis, Snaeda dan Conocarpus. Hal ini demikian, Malaysia merupakan kedua terbanyak hutan paya bakau di Asia Tenggara iaitu di belakang Indonesia. Paya bakau boleh dijumpai di negeri Perak, Johor, Selangor, Pahang, Kedah, Sabah dan Sarawak. Di Sabah dan Sarawak terdapat 83% paya bakau manakala di Semenanjung Malaysia hanya terdapat 17% sahaja. Dengan ini, paya bakau di negeri Sabah dan Sarawak lebih banyak berbanding dengan Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada negeri Johor, Kedah, Perak, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang. Antara lokasi yang terdapat paya bakau di Semenanjung Malaysia ialah Tanjung Piai, Sungai Pulai, Kuala Sepetang, dan Kuala Selangor manakala di Sabah dan Sarawak pula ialah Delta Lubuk – Sungut dan Pantai Samarahan. Hutan bakau mempunyai tiga zon utama iaitu zon pantai, zon tengah, dan zon dalaman. Paya bakau mempunyai persekitaran yang kompleks dan ciri-ciri penting bagi habitat paya bakau ialah tahap kemasinan yang tinggi, kandungan oksigen yang rendah di dalam air dan tanah, tanah berlumpur dan lembut serta dipengaruhi air pasang surut. Hutan pokok bakau mempunyai ciri penyesuaian yang istimewa seperti dapat menangani masalah kandungan oksigen yang rendah semasa air pasang dengan mempunyai Pneumatofora ataupun akar pernafasan dan juga akar lutut. Pneumatofora ini muncul tegak dari permukaan tanah dan menolong dalam pertukaran gas diantara akar tenggelam dan atmosfera manakala akar lutut pula mempunyai liang-liang kecil lentisel wujud pada akar lutut untuk proses pertukaran gas. Oleh itu, hutan bakau berfungsi sebagai penapis udara yang dapat membekalkan udara yang segar dan oksigen kepada kehidupan. Tambahan lagi, pokok bakau juga dapat mengatasi tahap kemasinan air yang tinggi kerana mempunyai mekanisma untuk mengawal kepekatan garam dalam tisu tumbuhan. Pokok bakau dapat melakukan proses penyingkiran garam kerana pokok bakau merupakan tumbuhan halofit yang dapat menyingkirkan garam yang berlebihan. Pokok bakau juga dapat mengatasi masalah keadaan tanah yang lembut kerana mempunyai sistem akar khas yang dapat mencengkam dan menstabilkan diri dalam tanah yang berlumpur dan lembut. Contohnya, akar jangkang yang tumbuh bercabang keluar dari bahagian bawah batang pokok untuk mencengkampokok dengan kuat dalamtanah. Seterusnya, paya bakau berfungsi sebagai benteng kepada pinggir pantai bagi mengelakkan daripada berlakunya tsunami. Paya bakau melindungi daripada ombak-ombak besar tsunami. Hal ini dapat dibuktikan dengan kedudukan paya bakau yang terletak diantara sempadan daratan dan lautan. Hutan paya bakau juga dapat menstabilkan persisiran pantai, tebing sungai dan muara dengan memberi perlindungan daripada arus pasang surut, ombak dan ribut. Pada tahun 2004, selepas tsunami berlaku, paya bakau disedari kepentingannya yang boleh mengurangkan tekanan gelombang lautan. Paya bakau inilah merupakan ejen pemecah angin kencang daripada laut. Oleh itu, kawasan yang berhampiran dengan hutan ini akan mendapat perlindungan dan pertahanan di pinggir pantai. Hutan bakau juga bertindak sebagai penampan ombak kerana akarnya yang berceranggah membantu mengukuh dan mengikat tanah daripada hakisan ombak, malah mampu meluaskan lagi kawasan tanah kerana daun dan sampah sarap yang terperangkap pada akarnya berserabut mendap dan menimbun. Hutan bakau ini mampu memperlahankan aliran air, dengan itu membenarkan bendasing dan lumpur halus yang terapung dalam air untuk mendak membentuk kawasan berlumpur. Ianya berlaku apabila ombak menolak tanah dan lumpur dari laut ke daratan di hutan paya bakau dengan sistem akar yang unik dapat mengumpul tanah berkenaan. Fenomena unik ini terjadi kerana kecenderungan laut untuk menenggelami daratan lalu memainkan peranan dalam memperluaskan pinggiran pantai dengan mengepung kelodak dalam lumpur yang dibuang. Proses ini mampu menebus guna tanah dan hasilkan pantai baru. Selain itu, hutan paya bakau merupakan tempat perlindungan dan sumber makanan bagi pelbagai penghuni hutan bakau. Hutan paya bakau merupakan tempat yang sesuai bagi pembiakan beberapa spesis ikan, siput, udang, ketam dan kerang di mana hutan ini merupakan tempat perlindungan yang bergantung kepada perubahan pasang surut dan musim. Hidupan berkenaan menetas dan membesar sebelum kembali ke laut. Hutan bakau kaya dengan bahan nutrien dan plankton yang menjadikannya kawasan yang sesuai untuk ikan, udang dan ketam untuk meneruskan kehidupan. Struktur akar jangkang dan pneumatofora yang ada pada pokok bakau memberi perlindungan kepada ikan-ikan kecil, udang dan ketam daripada pemangsa dan pergerakan arus air serta ombak. Apabila air pasang berlaku akan terjadinya peringkat mengambil makanan dan pembiakan ikan, udang dan ketam di paya bakau. Manakala, pada air surut peringkat mengambil makanan termasuk burung dan pembiakan ikan, udang dan ketam akan berlaku. Hutan bakau kaya dengan makanan yang dapat menampung pelbagai spesis organisma. Kulat dan bakteria dalam lumpur yang menjalankan proses pereputan terhadap daun pokok bakau yang telah gugur. Hal ini dapat menyediakan sumber mineral dan makanan kepada krustasea dan kulat mikroskopik. Krustasea dan kulat menjadi bahan makanan kepada ikan-ikan kecil. Ikan-ikan kecil ini akan menjadi makanan kepada ikan-ikan besar, ketam dan burung. Kitar makanan sebegini menjamin keterdapatan sumber makanan setiap masa bagi penghuni hutan bakau. Ombak dan arus lautan memainkan peranan pengeksportan detritus dan bukan organik ke arah laut lalu menjadi makanan kepada zooplankton. Di samping itu, hutan bakau juga mempunyai potensi sebagai tarikan eko - pelancongan yang utama. Seperti yang kita ketahui, Malaysia sememangnya kerap dikunjungi dengan pelancong yang melancong ke negara kita. Keunikan kawasan hutan paya bakau sebagai kawasan khazanah negara dan kawasan pelancongan. Hutan bakau merupakan antara tempat yang menjadi destinasi utama para pelancong. Mereka ingin melihat keunikan dan keindahan hutan bakau yang mempunyai pelbagai habitat. Akar pokok bakau rhizophora mempunyai akar menonjol seperti kaki labah - labah yang dapat mencengkam tanah berlumpur dengan kuat. Keunikan kawasan hutan ini menjadi tempat persingahan pelbagai burung yang berhijrah dari hamesfira selatan ke utara dan sebaliknya. Hutan bakau juga sering dijadikan sumber penyelidikan dan pendidikan. Mereka ingin mengkaji suasana kehidupan habitat di hutan bakau. Hutan bakau dijadikan tempat rekreasi para pelancong untuk aktiviti menangkap ikan dan sebagainya. Dalam pada itu, program-program pendidikan alam sekitar juga sering dijalankan di hutan bakau. Guru-guru ingin mendidik pelajar tentang alam sekitar boleh membawa pelajar ke kawasan hutan bakau untuk melihat sendiri betapa pentingnya alam sekitar kepada masyarakat. Penyelidikan saintifik dilakukan di hutan bakau dapat menarik minat pelancong untuk terus menjaga hutan bakau ini. Oleh itu, kita perlu menyayangi hutan bakau kita supaya pelancong datang ke Malaysia dan berasa selesa dengan persekitarannya lebihlebih lagi di hutan bakau. Tidak ketinggalan kegunaan lain tumbuhan paya bakau ialah sebagai sumber ubat-ubatan. Pucuk daun pokok bakau boleh dimakan sebagai ulamulaman. Kekacang pokok api-api hitam direbus untuk mendapatkan kacang yang boleh dimakan. Buah perepat pula digunakan dalam pembuatan minuman herba. Manakala, pokok nipah menghasilkan nira yang merupakan sejenis manisan yang boleh diminum begitu sahaja tanpa diproses. Nira yang segar mengandungi sukrosa dan protein berguna. Nira nipah ini dapat menurunkan suhu badan yang panas, mencuci buah pinggang, penyakit gastrik dan karang pasir. Hasil perubatan Cina seperti kulit pokok tumu merah digunakan untuk merawat cirit-birit, manakala asap daripada pembakaran kayu buta-buta dapat merawat penyakit kusta dan daunnya dapat merawat penyakit sawan. Pengkaji-pengkaji Jepun yang mengkaji hutan bakau di Kuala Sepetang, Perak percaya bahawa pokok bakau merupakan ubat kepada sakit perut. Jika fakta ini benar, hutan bakau akan menjadi salah satu sumber perubatan kepada negara. Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, hutan bakau banyak memberikan kesan positif kepada negara. Hal ini bergantung kepada kita untuk menjaga atau memusnahkan hutan bakau yang memberi seribu manfaat kepada masyarakat. Sebagai masyarakat yang prihatin dan berjiwa alam, kita mestilah memperkenalkan hutan bakau dan mengekalkannya agar generasi akan datang masih mengenali apa itu hutan bakau. Tidakkah kita risau jika pada suatu hari, generasi akan datang tidak mengambil berat tentang kepentingan hutan bakau ini? Masyarakat perlu sedar bahawa jika sesuatu spesies sama ada flora atau fauna itu pupus, ia akan memberikan kesan yang besar ke atas pusingan kitaran ekosistem alam sekitar. Hal ini pastinya akan memberi impak yang negatif kepada alam sekitar. Tegasnya, marilah kita bersama-sama menyayangi dan memelihara hutan paya bakau kita.